“Tidak sempat mati kena tanam”

KOTA BHARU 10 Dis. – Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa mendedahkan, beliau hanya mengetahui dirinya dipecat sebagai ahli UMNO menerusi media sosial ketika berada di pejabat, kira-kira pukul 11 malam kelmarin.

Katanya, pada masa yang sama, beliau juga disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan.

“Sehingga kini, saya masih tidak menerima surat rasmi berhubung pemecatan itu. Saya tidak tahu kenapa dibuang daripada UMNO kerana tidak mempunyai salah apa-apa.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang (Akbar Salim) tahu awal dan saya juga dibuang terus daripada kumpulan WhatsApp Ketua Badan Perhubungan.

Rupanya begini dalam politik, umpama tidak sempat mati tetapi kena tanam. Saya masuk dengan baik dalam UMNO sejak 43 tahun lalu dan mahu keluar dengan elok juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Padang Kala di sini, hari ini.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO, berkata pemecatannya ibarat pecah rekod kerana dibuang tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

“Saya memecahkan rekod kerana dipecat tanpa dipanggil dan dimaklumkan terlebih dahulu termasuk menerusi Lembaga Tatatertib UMNO. Kira hakim terus jatuh hukum dahulu.

“Sebelum ini, saya dipecat sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya senyum, kena buang Setiausaha UMNO dan tidak jadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) saya senyum dan jalan terus kerana saya ini orang perjuangan.

“Saya ucapkan terima kasih. Walaupun saya bukan lagi ahli UMNO, tetapi saya mahu ahli UMNO Ketereh terus kekal berjuang dalam parti,” katanya.

Annuar juga mengakui, menerima pelawaan daripada pemimpin Pas untuk hadir kenduri kesyukuran di Kota Bharu dan Tumpat hari ini dan malam ini.

Bagaimanapun beliau menolak pelawaan itu berikutan baharu sahaja tiga hari dipecat sebagai ahli UMNO.

“Pas mengajak saya untuk hadir kenduri di Tumpat dan Kota Bharu. Jika hadir, mereka (PAS) minta saya bersyarah (berceramah) di Tumpat malam ini, tetapi saya tidak terima sebab baru bercerai tiga hari lalu (dengan UMNO).

Kena tunggu lepas edah dahulu. Jangan cepat sangat kerana saya bukan begitu,” katanya secara berseloroh.

Ditemui pemberita kemudiannya, Annuar menyifatkan tindakan pemecatan keahliannya pada Khamis sebagai ‘menggali kubur’nya dalam parti itu.

“Ingatkan sembelih sahaja apabila tak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).BTahu-tahu gali kubur, tak ada bagitahu apa-apa. Paling kurang tahanlah, biar saya tahu dulu. Ini tidak, kambus mati terus,” katanya

Related posts

Leave a Comment