Muafakat Nasional mula buka keahlian

SEPANG 10 Dis. – Permohonan keahlian Muafakat Nasional (MN), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan oleh Annuar Musa dibuka lebih awal mulai malam ini dengan mengemukakan permohonan secara atas talian (online).

Melalui Facebooknya, Annuar sebagai Presiden MN berkata, permohonan itu sepatutnya bermula minggu hadapan tetapi atas atas permohonan ramai, pendaftaran keahlian secara online itu diawalkan.

Melalui Minda Presiden, Annuar menjelaskan MN ditubuhkan sebagai platform untuk melaksanakan program dan aktiviti kearah memupuk nilai muafakat, mewujudkan keterangkuman tanpa bersifat perkauman, mempromosikan perpaduan ummah dan menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik, berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Katanya, MN berpegang kepada lima matlamat iaitu :

  • MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara.
  • MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.
  • MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
  • MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
  • MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Menurut Annuar, inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh MN adalah dalam kerangka nilai-nilai kesederhanaan serta keterbukaan yang tinggi.

“Elemen nasionalisme yang tinggi diterapkan kedalam setiap aktiviti yang bakal dianjurkan dengan berpandukan kepada 5 perkara yang telah ditetapkan didalam matlamat MN,” katanya.

Antara aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MN adalah, Sidang Meja Bulat (Round Table Discussion) yang menghimpunkan nama-nama serta tokoh-tokoh masyarakat yang terlibat dalam pelbagai bidang serta kepakaran yang diadakan dalam beberapa siri.

Turut dirancang Jelajah Muafakat Nasional – seminar tertutup di setiap negeri bagi membawa semangat muafakat dan mempromosikan keahlian MN dan Konvensyen MN bertaraf nasional.

Related posts

Leave a Comment