UMNO bukan peminta sedekah

KUALA LUMPUR 21 Nov. – UMNO bukan diwujudkan sebagai ‘peminta sedekah’ kepada mana-mana parti untuk memasuki blok kerajaan.

Berikutan itu, lebih 50 Ketua UMNO Bahagian  mahu parti berkenaan untuk tidak bergabung sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran.

Ketua Bahagian UMNO Ketereh,  Annuar Musa, berkata parti itu seharusnya menerima mandat yang diputuskan rakyat untuk menjadi pembangkang yang bermaruah dan berwibawa.

“Kami berpendirian UMNO tidak perlu merangkak untuk duduk dalam kerajaan, kita reda menjadi pembangkang bagi membela rakyat.

Apabila rakyat memberi mandat, kita sedia untuk bawa peranan itu dan biarkan parti yang mendapat banyak kerusi untuk buat kerajaan.

“UMNO tidak seharusnya minta sedekah kepada sesiapa. Kalau ajak bergabung dan Perdana Menteri daripada UMNO, mungkin kami akan sokong.

Tetapi kalau masuk (bergabung) sebagai menempel, tak perlulah sebab kami yakin kami boleh betulkan parti ini,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata, ketua-ketua UMNO yakin, jika boleh membetulkan semula parti ini, memberi ruang pada pemimpin baharu,  dalam PRU16 akan datang UMNO akan kembali berkuasa sebagai pemerintah mutlak dalam negara ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, UMNO turut mengambil pendirian sama PRU14 lalu, selepas pasti BN tewas oleh PH sehingga menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

“Ada yang tanya, mengapa pilihan raya lalu boleh masuk kerajaan? Saya kena jelas, kami bersetuju menjadi pembangkang hanya kerana setelah PH tumbang (semasa Langkah Sheraton). UMNO masuk menjadi kerajaan untuk menstabilkan negara ketika itu.

“Kali ini, kita tidak mahu masuk kerana sama seperti dahulu juga. Kami konsisten apabila rakyat tidak memberi mandat kepada kami, maka kami bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya.

Annuar yang merupakan antara “orang lama” dalam parti yang digugurkan sebagai calon pada PRU15 turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Zahid yang dianggap untuk “membersihkan parti,” yang akhirnya mengheret UMNO kepada kekalahan terburuk dalam pilihan raya. 

“Kekalahan parti disebabkan presiden kuasai parti. Zahid satu liabiliti kepada UMNO . Zahid kena terima keputusan rakyat yang rakyat dah tolak Zahid,” katanya bahawa tindakan Zahid untuk bergabung dengan PH akan mematikan perjuangan UMNO yang bermati-matian menolak PH dan DAP. 

Katanya, atas kesetiaan terhadap parti, sampai saat akhir orang sepertinya dan bekas ahli parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman masih bertahan walaupun Zahid membuat pelbagai percaturan politik yang bakal memakan diri UMNO . 

Antaranya seperti memutuskan untuk bergerak solo dalam PRU15, menggugurkan calon yang boleh menang dalam pemilihan calon pilihan raya atas sebab mahu membersihkan parti. 

“Soal kingmaker (penentu), UMNO bukan nak wujud sebagai kingmaker tapi memimpin dan memerintah. Adakah Umno angkat orang lain jadi pemerintah?” soalnya. 

PRU15 menyaksikan BN sekali lagi mengalami kekalahan teruk. 

Gabungan itu hanya menang 30 kerusi Parlimen berbanding pencabarnya PH yang memperoleh 82 kerusi dan PN yang memperoleh 73 kerusi parlimen.

Related posts

Leave a Comment