SINGAPURA yang dijangka memasuki fasa ketiga pembukaan ekonomi pada akhir tahun akan terus memantau situasi pandemik Covid-19 di Malaysia, termasuk kemasukan pelancong dari negara tetangga itu.
Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19, Lawrence Wong berkata langkah berjaga-jaga telah diambil untuk pelawat, termasuk melakukan ujian saringan ke atas mereka ketika berada di republik itu.
Wong yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui ujian Itu pihaknya akan mempunyai data sebenar mengenai kadar kelaziman pelancong Malaysia ketika mereka berada di Singapura.
Katanya rentas sempadan adalah bersyarat dan pelawat boleh masuk ke Singapura tetapi ada Notis Duduk Di Rumah (SHN) serta ujian, untuk memastikan mereka selamat sebelum mereka bersama masyarakat.
Ketika ini Singapura memendekkan tempoh SHN daripada 14 hari kepada tujuh hari bagi pelawat dari enam negara dan wilayah berisiko rendah Covid-19, termasuk Malaysia mulai 1 September 2020.
Pelawat dari negara dan wilayah terbabit dibenarkan untuk menjalani SHN selama tujuh hari di kediaman mereka.
Bagaimanapun bermula 14 Oktober lalu, Singapura mewajibkan semua pelawat dengan sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini, untuk menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan SHN yang ditetapkan.