Bukan kerajaan PH, DAP

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk tidak akan dikenali sebagai kerajaan PH atau DAP, sebaliknya kerajaan bersifat gabungan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

“Ia bukan kerajaan DAP, bukan kerajaan PH. Ia adalah kerajaan gabungan,” kata Presiden PKR itu pada sidang media, di sini.

Pada masa sama Anwar menolak kenyataan Muhyiddin Yassin yang mendakwa berjaya membentuk kerajaan dengan memperoleh sokongan majoriti daripada 112 ahli Parlimen.

Katanya, sokongan daripada ahli Parlimen BN yang menyokong calon Perdana Menteri di luar ketetapan parti adalah tidak sah.

“Kita adalah gabungan yang mempunyai blok terbesar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dan selesa dengan sokongan yang diperoleh,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein beliau tidak akan bekerjasama dengan PH, Anwar berkata, bekas Menteri Pertahanan itu diyakini akan mengubah pendiriannya selepas rundingan ini.

“Kami menekankan kepentingan untuk membentuk kerajaan inklusif dan kami masih memerlukan sokongan semua pihak.

“Paling penting di sini ialah kita tidak akan ada berkompromi dalam isu tadbir urus. Kita perlu bergerak demi kebaikan negara dan melindungi kepentingan rakyat,” katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen dari PH dan BN mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific, di sini bagi membincangkan mengenai kerajaan gabungan, selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Selain Anwar, pemimpin yang hadir ialah Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

 

Related posts

Leave a Comment