PRU15 : Nama-nama besar kecundang

SELAIN Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN) ramai lagi pemimpin ternama parti politik yang dijangka menang tetapi tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam.

Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi di Langkawi manakala Tengku Razaleigh gagal mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gua Musang manakala Tengku Adnan Tengku Mansor gagal mempertahankan Putrajaya .

Mohamed Azmin Ali (PN) yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya sejak  2008 atas tiket PKR dan kemudiannya menyertai Bersatu selepas PRU14.

Presiden PBS,  Maximus Ongkili pula terpaksa melepaskan Parlimen Kota Marudu yang diwakilinya sejak 27 tahun lalu selepas keputusan tidak memihak kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu.

Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pula gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap yang disandangnya apabila tewas kepada Nurul Amin Hamid dari Perikatan Nasional (PN).

Kejutan juga berlaku di Kepala Batas apabila penyandang selama dua penggal Reezal Merican Naina Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tewas kepada calon PN dari Pas.

Nama-nama besar lain yang turut kecundang adalah Khairy Jamaludin yang bertanding di Sungai Buloh selepas memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan untuk bertanding di Rembau.

Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden UMNO pula gagl mempertahankan kerusi Permatang Pauh yang dikuasai keluarganya sejak Anwar Ibrahim diikuti Dr Wan Azizah Wan Ismail selama 23 tahun atas tiket PKR.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula gagal mempertahankan kerusi Kulim Bandar Baharu.

Timbalan Presiden Bersatu, Faizal Azumu atau Peja pula gagal di Tambun selepas Presiden PKR, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mencabar beliau di kerusi Tambun yang dimenangi pada PRU lalu.

Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Perdana Menteri lalu, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang bertanding atas tiket BN gagal mengalahkan calon PH – Amanah  Dr Dzulkefly Ahmad yang juga penyandang kerusi itu.

Calon PN Parlimen Sepang, Rina Harun, yang juga Ketua Srikandi Bersatu tewas di kawasan baharunya Sepang manakala bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang juga penyandang kerusi Simpang Renggam tewas kepada calon BN, Hasni Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Seorang lagi anggota Kabinet, Zuraida Kamaruddin yang mewakili Parti Bangsa Malaysia terpaksa akur apabila PKR menawan semula kerusi tradisi parti berkenaan menerusi kemenangan calonnya, Rodziah Ismail dengan jumlah majoriti 29, 681.

Ketua Penerangan UMNO, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga gagal dalam cubaan pertamanya untuk menjadi anggota Parlimen selepas tewas di Parlimen Alor Gajah.

Turut tewas Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanding di kawasan baharu Grik Perak selepas tewas dua kali di Kelantan.

Beberapa pemimpin Amanah yang turut tewas adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan di bawah kerajaan PH,  Khalid Samad (Titiwangsa), rakannya Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar) dan Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Related posts

Leave a Comment