Shahril Hamdan letak jawatan gesa Zahid undur

KUALA LUMPUR 20 Nov.-  Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, dan menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berundur secara terhormat.

“Biar kepemimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini,” katanya melalui Facebooknya hari ini.

Calon BN Parlimen Alor Gajah itu berkata, beliau meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab bersama selepas kekalahan BN -UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.

“Saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat,” katanya.

Beliau juga menghargai peluang yang telah diberikan selama ini dan tidak akan melupakannya.

“Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 di PRU15.

Keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok,” katanya.

Tanpa mengurangkan rasa hormat kepada Ahmad Zahid, beliau sependapat dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu Presiden UMNO itu berjiwa besar meletakkan jawatan utama itu seperti dilakukan Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

Katanya, semua emua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, dan, tindakan berjiwa besar ini akan membantu UMNO mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

Related posts

Leave a Comment