Kes baharu Malaysia lepasi 3,000

PUTRAJAYA 5 Jan. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini kembali melepasi angka 3,000 selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 3,270 kes positif baharu setakat tengah hari ini.

Semalam jumlah yang direkodkan adalah 2,842 kes dan 2,690 pada hari sebelumnya dan kali terakhir merekodkan lebih 3,000 adalah pada 1 Januari dengan 3,386 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah  2,773,156 kes.

Daripada 3,018 kes penularan tempatan, seramai 2,916 pesakit atau 96.6 peratus adalah warganegara dan 102 kes lagi atau 3.4 peratus bukan warganegara, manakala 222 daripada 252 kes import dalam kalangan rakyat tempatan dan 30 kes lagi adalah warga asing.

Katanya, daripada 3,270 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 69 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,201 kes atau 97.9 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut merekodkan 257 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 137 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan empat kluster Covid-19 baharu hari ini, menjadikan sebanyak 6,143 kluster jangkitan wabak dikesan setakat ini.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 5,948 kluster sudah ditamatkan dan 195 kluster masih lagi aktif.

Pada masa sama, sebanyak 3,195 kes sembuh dilaporkan hari ini, menyumbang kepada sejumlah 2,701,808 pesakit atau 97.4 peratus kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 sejak ia dilaporkan di negara ini pada akhir Januari 2020.

Sementara itu, tiada kes jangkitan baharu dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta kluster baharu membabitkan mangsa banjir dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun , sebanyak 58 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini, iaitu 32 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI); penyakit kulit (20) dan enam penyakit Acute Gastroenteritis (AGE).

Related posts

Leave a Comment