Formula apa sehingga bahtera UMNO makin tenggelam?

ADA yang sinis apabila di ruangan ini dan segmen program Cuit & Selak Khas PRU15,saya menjangkakan Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 40 kerusi. Ada pihak meramalkan lebih 60 kerusi dan berani meramalkan 112.

Sahabat saya Sang Kelembai (SK) yang disingkirkan dari UMNO menjelang PRU15 juga masih meletakkan jangkaan 60 kerusi milik BN. Dalam marah tindakan UMNO terhadapnya masih ada ‘simpati’ SK  memberi ‘kemenangan’ kepada BN.

Tetapi telahan saya juga akhirnya silap apabila BN hanya menang 30 kerusi. Banyak kerusi boleh menang hilang.

Ibarat sudah terantuk baru terngadah, maka timbullah pelbagai kritikan terhadap kepemimpinan UMNO sedangkan realitinya sudah kedengaran pelbagai rasa tidak puas hati tetapi keegoan mengatasi segala-galanya.

Ketika UMNO menganggap pilihan raya ini sebagai ibu pilihan raya, BN berani menggugurkan calon boleh menang dan menurunkan calon boleh kalah.

Alasan kononnya untuk memberi peluang kepada muka baharu tidak kena pada masanya ketika calon yang lain juga dalam kedudukan sama. Akibatnya, ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob juga cukup kecewa kerana semua yang digugurkan itu mempunyai jasa yang cukup besar untuk parti dan negara, selain status mereka juga disifatkan sebagai ‘winnable’ atau calon mampu menang.

UMNO menggugurkan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim (Arau), Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa (Ketereh), Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba (Tenggara), Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamad Saddique (Kota Tinggi) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Noh Omar (Tanjung Karang).

Timbalan menteri pula adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Ismail Abdul Mutalib (Maran).

Calon lain yang digugurkan termasuklah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mohd Salim Sharif (Jempol) manakala Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) tidak mahu menawarkan diri.

Hasil percaturan berani ini,  BN hilang kerusi  Arau dan Maran apabila penyandang kerusi itu bertanding atas tiket PN manakala kerusi lain yang tewas adalah Ketereh, Tanjong Karang, Padang Besar, Kuala Kangsar, Pasir Salak dan Padang Rengas.

Harus diingat, kemenangan juga kadang-kadang bersandarkan kepada personaliti calon selain parti, contohnya Shahidan, Annuar dan Noh. Faktor Shahidan juga menyebabkan BN hilang seluruh Perlis.

Dalam usaha UMNO mahu mengambil semula 16 kerusi yang ‘dilarikan’ selepas PRU lalu, realitinya hilang banyak kerusi malahan pada masa yang sama Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi hampir kecundang di Bagan Datuk.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Selain hilang kerusi boleh menang, UMNO juga gagal mendapatkan semula 16 kerusi yang dilarikan pada PRU lalu iaitu Bagan Serai, Bukit Gantang, Masjid Tanah, Jeli, Beluran, Kudat, Larut, Hulu Terengganu Tanah Merah, Mersing, Tasek Gelugor, Sabak Bernam, dan Labuan.

Maknanya daripada 16 kerusi dilarikan itu, UMNO hanya mampu mendapatkan semua Libaran dan Beaufort manakala Sipitang ditandingi GRS.

UMNO yang terus dibuai mimpi indah dengan kemenangan pilihan raya negeri Melaka dan Johor bercita-cita untuk memenangi PRU15 tetapi akhirnya keputusan semalam mendedahkan keadaan sebenar UMNO tidak bersedia.

Beberapa calon UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah sama ada lama dan baharu juga ditolak ketika parti lawan membangkitkan sentimen tolak rasuah, tolak kluster mahkamah, tolak kleptokrat, tolak kaki sakau dan pelbagai label buruk.

Kesannya bukan terhadap mereka yang terlibat tetapi memberi kesan kepada calon lain yang tidak terpalit rasuah tetapi terkena tempiasnya.

Ini kerana jika PRU14 hanya ada gabungan PH tetapi kali ini pengundi mempunyai pilihan PN – gabungan Bersatu dan Pas . Situasi sama juga akan berlaku jika wujud MN – gabungan UMNO-Pas. Cuma tahap ‘bersih’ UMNO akan membezakannya.

Hari ini baru kedengaran suara-suara yang lebih berani menyalahkan Ahmad Zahid. Sebelum ini hanya kedengaran luahan daripada beberapa orang yang digugurkan dan terakhir luahan Khairy Jamaludin (KJ).

Tetapi adakah semuanya sudah terlambat atau nasi sudah menjadi bubur? Siapa dalam kepemimpinan UMNO harus tampil bertanggungjawab terhadap tsunami ini?

Apa yang pasti hasrat PN khususnya Bersatu untuk menenggelamkan bahtera UMNO semakin membuahkan hasil. Dan UMNO pula yang kononnya sudah bersedia untuk PRU, hakikatnya seolah-olah menyerah diri untuk dikorbankan.

Related posts

Leave a Comment