Pembaharuan pimpinan perlu diteruskan

KUALA LUMPUR  15 Nov. – Matlamat untuk pembaharuan dan perubahan pucuk pimpinan UMNO mesti diteruskan dan kesedaran ini ada dalam kalangan akar umbi, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin.

Tegasnya, majoriti akar umbi parti juga mahukan perubahan dan ia terbukti berdasarkan keputusan pemilihan Presiden UMNO pada 2018.

“Beliau (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak menang dengan mudah. Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) pecahkan undi, bukan saya. Jika campur undi kami berdua (Khairy dan Tengku Razaleigh) saya sudah jadi Presiden UMNO.

“Di belakang tabir, pimpinan muda suarakan pandangan yang berbeza dengan parti, malah pemimpin kanan parti juga sudah bersedia dengan perubahan dan saya rasa ia akan berlaku selepas PRU15,” katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu berkata demikian dalam program bual bicara ‘The Breakfast Grille’ di radio BFM, pagi ini.

Khairy 46, juga mengulangi pendirian menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai  Perdana Menteri sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sedia menggantikan tempatnya selepas tempoh pentadbiran Ismail Sabri berakhir.

Beliau yang menyasarkan untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang melahirkan keyakinan sudah bersedia menggalas tugas berat itu.

Ini berdasarkan kejayaannya ketika memainkan peranan utama dalam perang terhadap pandemik Covid-19 serta berpengalaman luas sebagai Ahli Parlimen, pimpinan parti dan mengetuai pelbagai kementerian sejak 14 tahun lalu.

“Kita melalui tempoh dua tahun yang sukar. Saya memainkan peranan dalam mengemudi negara ketika pandemik Covid-19. Pengalaman itu yang membawa saya menawarkan diri sebagai Perdana Menteri.

“Bukan sekarang, tetapi mungkin sekitar tempoh lima hingga 10 tahun lagi,” katanya.

Khairy berkata, antara perubahan yang mahu dilaksanakannya jika menjadi Perdana Menteri adalah penstrukturan semula ekonomi, sistem kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial kepada rakyat.

Beliau percaya cita-citanya menjadi pemimpin nombor satu negara itu akan disokong oleh perubahan besar pucuk pimpinan UMNO dalam pemilihan parti selepas PRU15, bermula dengan mengangkat Ismail Sabri sebagai Presiden UMNO.

“Apabila Ismail Sabri kembali menjadi Perdana Menteri (jika BN membentuk kerajaan selepas PRU15), beliau mesti memimpin parti, tidak boleh lagi ada perbezaan antara presiden parti dan Perdana Menteri.

“Pemimpin lain seperti saya dan Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) akan berbincang mengenai siapa yang perlu bertanding jawatan nombor dua,” katanya memaklumkan hanya sedia kembali menjadi menteri dalam ‘Kabinet Ismail Sabri’.

Ditanya mengenai potensi perubahan yang boleh dibawa UMNO yang didakwanya ‘sesat’, Khairy berkata UMNO yang disertainya sejak lebih 20 tahun itu adalah parti dan pemimpin yang bagus, namun menegaskan segelintir pemimpin perlu berundur.

Related posts

Leave a Comment