Afrika hadapi varian baharu?

ADDIS ABABA: Afrika berkemungkinan menghadapi kewujudan varian baharu Covid-19 berikutan peningkatan 36 peratus kes baharu Covid-19 sejak empat minggu lalu.

Pemangku Pengarah Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Afrika, Ahmed Ogwell, ketika memberi amaran itu berkata, wilayah tengah dan timur Afrika masing-masing merekodkan kenaikan 113 dan 54 peratus.

“Peningkatan ini menjadi tanda jelas kemungkinan ada varian baharu yang lebih cepat merebak,” katanya.

CDC Afrika sebagai agensi bertanggungjawab dalam penjagaan kesihatan di Kesatuan Afrika (AU), menggesa supaya ujian pengesanan ditingkatkan bagi mengenal pasti lokasi kemunculan varian baharu itu.

“Kita perlu melakukan lebih banyak ujian saringan dan penjujukan supaya dapat memahami penularan ini dan mengenal pasti varian apa yang akan muncul,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya pemberian vaksin ditingkatkan bagi menangani kadar vaksinasi yang masih rendah di benua berkenaan.

Katanya, angka kematian juga dapat dilihat semakin meningkat berikutan kenaikan jumlah kes sejak empat minggu lalu.

Lima negara Afrika melaporkan peningkatan kes baharu Covid-19 sejak minggu lalu iaitu Afrika Selatan dengan 50,404 kes, Tanzania (1,482 kes), Namibia (1,054 kes), Zimbabwe (910 kes) dan Burunudi (817 kes).

Related posts

Leave a Comment