Anda percaya selepas 22 bulan?

KUCHING 13 Nov – Gabungan Parti Sarawak (GPS) meragui kejujuran Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memberi penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak jika mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Anda percaya?” kata Pengerusi GPS, Abang Johari Tun Openg seperti dilaporkan Utusan Sarawak hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH,  Anwar Ibrahim itu ketika berucap pada pelancaran Tawaran Harapan Untuk Sarawak di sebuah hotel di Kuching semalam.

Premier Sarawak enggan mengulas lanjut tetapi mengingatkan apa yang dilakukan oleh PH ketika memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018.

“Setelah apa yang berlaku pemerintahan 22 bulan dahulu? Itu saja komen saya,” katanya selepas merasmikan program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini, hari ini. 

Mengenai kenyataan Anwar bahawa PH sentiasa terbuka untuk berbincang atau bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk GPS, selepas keputusan PRU-15 pada 19 November ini, Abang Johari berkata: 

“Bertanding dahulu, baru kita tahu macam mana. Kalau tidak bertanding tidaklah tahu.” 

Anwar dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada pelancaran Tawaran Harapan Untuk Sarawak di sebuah hotel di Kuching semalam.

PH adalah gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Tiga parti ini turut bertanding menentang calon GPS pada PRU-15 ini.

Related posts

Leave a Comment