KJ sertai Santai Badminton Bersama Chong Wei

SUBANG 13 Nov. – Di sebalik kesibukan kempen, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tidak lupa menyelitkan aktiviti riadah dan  menjalani gaya hidup sihat bagi mendekati orang ramai khususnya para pengundi.

Hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjadi pasangan regu badminton dengan jaguh perseorangan lelaki negara, Dr Lee Chong Wei, pada program Santai Badminton bersama Chong Wei di Kampung Baru Subang, di sini.

Khairy dan Chong Wei meluangkan masa beraksi sebagai pasangan regu menentang penganjur acara berkenaan, Lee Tick Wah serta bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih Dewan Badminton Yosin, Lee Winnie.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan meluangkan masa hampir sejam mendekati golongan muda di program berkenaan.

Beliau berbangga dengan penyertaan Chong Wei, selain berharap jaguh badminton itu  akan terus memberi inspirasi kepada golongan muda untuk beraksi di arena sukan negara dan antarabangsa.

“Kami berdua memang sudah lama berkawan, sejak saya belum memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan. Kita bangga dan bertuah kerana Chong Wei dapat menyertai program pagi ini.

“Saya harap Chong Wei akan terus memberi inspirasi kepada pemain muda untuk bekerja keras sebagai atlet. Beliau merangkul gelatan pemain nombor satu dunia bukan hanya kerana bakatnya, sebaliknya turut disumbangkan melalui kerja keras,” katanya.

Pasangan KJ dan Chong Wei juga meluangkan masa bermain badminton dengan beberapa anak muda, antaranya pelajar Tingkatan Dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Subang, Wong Chee Hin, 14.

Ditanya tahap penerimaan dalam kalangan pengundi baharu, Khairy berharap, pemilih belia akan memanfaatkan peluang bagi menentukan masa hadapan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya berharap pengundi muda dan baharu akan keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 19 November ini. PRU15 platform pertama mereka sejak pindaan Perlembagaan menurunkan had umur pengundi dibuat.

“Semakin ramai yang mengambil tahu mengenai pilihan raya dan platform media sosial sangat penting untuk generasi muda. Mungkin saya tak berkesempatan berjumpa setiap seorang anak muda. Namun, paling utama di platform media sosial, mereka memang tertarik dengan kempen pilihan raya kali ini,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei menegaskan pembabitannya dalam program berkenaan adalah bagi menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda, selain menafikan beliau dibayangi mana-mana parti politik.

“Saya datang ke program pagi ini kerana KJ (Khairy) bekas Menteri Belia dan Sukan yang banyak membantu saya sebelum ini.

“Saya juga mahu memeriahkan lagi program ini, sekali gus membangkitkan lagi semangat kesukanan golongan muda di sini. Saya mahu lebih ramai anak muda bermain badminton,” katanya.

Related posts

Leave a Comment