Cadang Sara beli sayur, buah-buahan

PUTRAJAYA 13 Ogos – Bagi membantu meningkatkan akses rakyat kepada pemakanan lebih sihat, skop Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dicadang diperluas kepada pembelian makanan berkhasiat termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar

Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini untuk diangkat bagi pertimbangan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Katanya, langkah itu penting supaya bantuan kerajaan bukan sahaja membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, malah mendorong akses kepada makanan yang lebih berkhasiat.

“Saya menegaskan isu kos sara hidup tidak boleh dilihat semata-mata daripada harga barang di rak pasar raya, ia perlu ditangani secara menyeluruh daripada kos pengeluaran dan rantaian bekalan, kemampuan membeli makanan berkhasiat, kos kesihatan dan pendidikan sehinggalah kepada perlindungan terhadap golongan rentan.

Sebab itu, setiap dasar mesti dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan sebenar rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut meneliti secara mendalam hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan kepentingan pengguna dan kelangsungan industri padi serta beras tempatan dapat diseimbangkan.

Jelasnya, antara perkara yang diberikan perhatian ialah cadangan mekanisme peralihan atau ‘soft landing’ melalui program beras bersubsidi bagi memastikan kumpulan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan mengambil serius tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan.

“Perkembangan geopolitik termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya ia tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna.

“Agensi berkaitan sudah diminta terus memperhalusi mekanisme sedia ada termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan,” katanya.

Dalam aspek kesihatan pula, mesyuarat mengambil maklum kemajuan 11 inisiatif RESET yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas akses serta memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh kerajaan di bawah Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2030, supaya tekanan kos kehidupan dapat ditangani merentas sektor, bukan secara terpisah.

“Kerajaan juga kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan. Berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, seramai 62,937 pelajar Tingkatan Enam dan universiti menerima bantuan pada tahun 2025 dengan nilai keseluruhan RM589.6 juta.

“Bantuan seperti ini perlu terus diperkukuh supaya anak-anak daripada setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang saksama untuk melanjutkan pendidikan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment