Pro, kontra calon PRU15 isytihar harta

SEPANG 12 Nov. – Parti-parti politik memberi pelbagai reaksi terhadap langkah PKR menetapkan calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta masing-masing.

Ada yang menyifatkan langkah itu tidak perlu kerana ia lebih bersifat gimik politik malahan menunjukkan’kebodohan’ seseorang.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan harta oleh calon yang bertanding pada musim PRU15 hanyalah gimik politik semata-mata sebaliknya terdapat cara yang betul untuk mengisytiharkan harta seseorang.

“Saya telah berbuat demikian ketika saya menjadi menteri dan Perdana Menteri atau memegang jawatan awam, anda perlu mengisytiharkan harta anda tetapi apabila anda adalah entiti swasta, anda tidak perlu berbuat demikian.

“Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemaknya atau meminta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim mengisytiharkannya kepada badan pencegah rasuah.

“Sebagai menteri, ia wajib tetapi selain itu ia hanya gimik politik yang cuba mendakwa calon itu miskin dan pengundi harus mengundi orang itu,” katanya selepas program Santai Anak Muda Johor, di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram, Batu Pahat hari ini.

Sementara itu di ALOR SETAR, Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pengisytiharan harta oleh ahli politik, tetapi ia perlu dilaksanakan sepanjang masa, bukan dalam musim pilihan raya semata-mata.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya perkara itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu bagi mewajibkan Ahli Parlimen mengisytihar harta masing-masing.

“Saya bersetuju (dengan pengisytiharan harta oleh ahli politik) tetapi bukan dekat dengan pilihan raya. Kita kalau hendak buat waktu mana kita tidak kira. Itu kita bercakap dalam dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun berkempen bersama calon PEJUANG bagi Parlimen Kuala Kedah, Ulya Aqamah Husamuddin, di Taman Bersatu, Jalan Batas Paip, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, sebahagian besar calon PKR membuat pengisytiharan harta masing-masing berikutan syarat parti itu yang mahu semua calonnya berbuat demikian.

DAP iaitu rakan PKR dalam Pakatan Harapan (PH), juga tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta mereka.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata mereka hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Kami tidak mempunyai dasar sedemikian (mengisytiharkan aset kami). Hanya jika kami dipilih dan mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet, kami akan berbuat demikian (mengisytiharkan aset) seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di di pasar Cecil Street, Pulau Pinang.

Di MARANG semalam, Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata, tiada keperluan untuk pemimpin Pas mengisytiharkan harta kerana rakyat sudah mengenali pemimpin daripada parti berkenaan.

“Harta kita tak banyak… orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu… tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar,” katanya dalam sidang media selepas kuliah mingguan di Rusila.

Bagaimanapun, beliau tidak menghalang mana-mana pemimpin yang mahu membuat pengisytiharan harta masing-masing tetapi pada masa yang sama menyifatkan langkah itu satu kebodohan.

“Isytihar harta ini kadang-kadang satu kebodohan. Nak tunjuk-tunjuk kepada orang ramai,” katanya

Related posts

Leave a Comment