SEPANG 13 Ogos – Bekas wakil rakyat DAP, Dr Ong Kian Ming berharap perwakilan pada Persidangan Parti DAP 2026 Ahad ini mengundi keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk memberi tekanan terhadap Perdana Menteri (PMX) Anwar Ibrahim.
Katanya, perwakilan harus mempertimbangkan saranan untuk keluar bagi memaksa Anwar mengambil tindakan bagi melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian daripada reformasi politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat juga sebab yang munasabah untuk perwakilan memilih DAP kekal dalam Kabinet termasuk memastikan pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini berjalan dengan lancar.
Ia bagi memastikan kestabilan dasar dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh dasar Donald Trump, khususnya di Timur Tengah, dan tidak mahu memberi peluang kepada BN/UMNO menarik sokongan daripada Kabinet dan Kerajaan sehingga boleh mencetuskan pilihan raya umum lebih awal.
“Namun begitu, hanya terdapat satu sebab utama mengapa perwakilan harus mengundi supaya pemimpin DAP meletakkan jawatan daripada Kabinet — iaitu untuk memaksa Perdana Menteri melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian daripada reformasi politik sebelum PRU16,” katanya menerusi Facebooknya.
Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi, berkata Kongres Khas DAP sebagai satu cara untuk memberi peringatan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lebih-lebih dalam usaha menunaikan janji reformasi dalam manifesto PH.
“PMX hanya akan bertindak balas apabila tekanan kuat diberikan kepadanya, sama ada oleh individu, sekumpulan orang, organisasi mahupun keadaan politik tertentu.
Inilah niat asal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memanggil Kongres Khas ini — mengingatkan PMX bahawa para perwakilan mempunyai kuasa memaksa pemimpin DAP meletakkan jawatan daripada Kabinet, “ katanya.
Loke sebelum ini dilapor berkata perwakilan DAP akan menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan pada persidangan Ahad ini.
Usul mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan sebelum diputuskan, menerusi undi bagi menentukan hala tuju DAP dalam arena politik tanah air secara kolektif.
Kian Ming yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sekiranya perwakilan mengundi untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan, pemimpinnya masih boleh menentukan garis masa sesuai untuk anggota Kabinet daripada parti itu meletak jawatan.
Beliau berkata mereka boleh mencapai persetujuan dengan Anwar bahawa peletakan jawatan hanya akan dilakukan selepas pembentangan Belanjawan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada hujung tahun ini.
“Mereka juga boleh berunding dengan Anwar supaya beberapa perubahan perundangan penting diluluskan dalam sidang Parlimen ini, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun serta Akta Peruntukan Parlimen yang sama rata.
“Tindakan-tindakan ini mungkin tidak mencukupi untuk memastikan PH dan DAP kekal menerajui kerajaan bagi penggal kedua selepas PRU16.
“Namun, sekurang-kurangnya DAP boleh mengatakan bahawa mereka sanggup meninggalkan kerajaan atas dasar prinsip, bukannya dituduh mengundi untuk melindungi kepentingan diri sendiri,” katanya.
Nnnn
