Larut: Ustaz Kazim Elias tarik diri

IPOH 2 Nov. –  Pendakwah bebas, Mohd Kazim Elias menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak,  Saarani Mohamad mengumumkan demikian pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional di sini, hari ini.

Saarani berkata, Mohd Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

“Mohd Shafiq menggantikan Mohd Kazim yang membuat keputusan menarik diri,” katanya pada majlis pengumuman berkenaan.

Pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam tadi.

Tidak dinyatakan sebab Mohd Kazim menarik diri tetapi dikatakan juga ada kaitan dengan penyertaan abangnya Mohd Najmuddin Elias bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang berada dalam kawasan Larut.

Berikutan pengumuman malam tadi, netizen memberikan pelbagai reaksi sama ada yang berbentuk ucapan tahniah serta kritikan.

Untuk rekod, Mohd Kazim sebelum ini juga pernah menolak pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO pada 2013 semasa dipimpin Najib Razak.

Sementara itu dalam hantaran Facebooknya pagi ini, Ustaz Kazim menulis: “ Alhamdulillah. Semoga kutukan cercaan hinaan bertukar menjadi pahala. Terima kasih. Sayangilah pahala anda,”

Terdahulu, melalui satu lagi hantaran, beliau berkata: “Allahu akbar. Melihat orang dari jauh. Baik selidik dulu. Apa pun…doa dan mengharap Allah,”

Related posts

Leave a Comment