Anak sulung Najib tanding DUN Peramu Jaya

KUANTAN 2 Nov. –  Tidak disenaraikan di Parlimen Pekan, tetapi anak sulung kepada Datuk Seri Najib Razak, Mohamad Nizar, tetap mendapat tempat apabila dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.

DUN Peramu Jaya adalah salah satu daripada DUN bawah Parlimen Pekan yang disandang bapanya sebelum ini.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, ketika mengumumkan senarai 42 calon bagi DUN juga memberitahu penyandang kerusi Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, pula akan bertanding di Parlimen Pekan.

Untuk rekod kerusi Pekan disandang keluarga Najib selama 63 tahun sejak Perdana Menteri kedua, Allahyarham Razak Hussein.

Wan Rosdy memberitahu, BN Pahang akan bertanding 42 kerusi DUN dengan menampilkan 27 muka baharu bagi DUN, manakala lapan muka baharu pula daripada 14 calon Parlimen.

Menurut Wan Rosdy, beliau akan mempertahankan kerusi DUN Jelai.

Daripada jumlah kerusi DUN itu, 34 kerusi ditandingi UMNO dan enam (MCA) bagi kerusi DUN, manakala 11 kerusi UMNO dan tiga kerusi MCA di Parlimen.

Bagaimanapun, dua calon bagi kerusi Sabai dan Cheka tidak diumumkan hari ini.

Wan Rosdy berkata, kombinasi muka baharu dan lama adalah ramuan yang strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang telah dirancang serta percambahan idea segar dan baharu.

Katanya, calon yang dibariskan adalah mewakili semua parti komponen berdasarkan persetujuan dan persefahaman yang jelas atas semangat dan muafakat BN.

“Tidak berlaku pergeseran atau masalah yang besar dalam merunding dan membahagikan kerusi antara parti komponen BN,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon BN Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga calon Parlimen Bera.

Bagi calon BN di 14 Parlimen Pahang, Parlimen Bera ditandingi Ismail Sabri , Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), Abdul Rahman Mohamad (Lipis),  Hasan Ariffin (Rompin),  Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan  Ismail Mohamed Said (Kuala Krau).

Kerusi Parlimen Pekan pula ditandingi penyandang kerusi DUN Peramu Jaya,  Sh Mohamed Puzi Sh Ahmad dan Abdul Hamid Nazahar (Kuantan) dan  Mohd Zukarmi Abu Bakar (Jerantut).

Pengumuman juga menyaksikan dua Exco kerajaan negeri iaitu Mohd Sharkar Shamsudin dan  Shahaniza Shamsudin masing-masing dipertaruhkan untuk bertanding di Temerloh dan Maran.

MCA pula mendapat tiga kerusi Parlimen iaitu Bentong yang bakal ditandingi oleh Liow Tiong Lai manakala kerusi Indera Mahkota akan ditandingi pegawai khas Presiden MCA,  Quek Tai Seong dan Raub pula Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon.

Pada PRU-14, BN Pahang memenangi sembilan daripada 14 Parlimen manakala kerusi DUN pula BN memenangi 25 daripada 42 kerusi.

Related posts

Leave a Comment