Kes harian Covid-19 turun sedikit

PUTRAJAYA 1 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 2,913 kes positif baharu Covid-19 semalam, kurang sedikit berbanding 3,129 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,902,964 kes.

Laman sesawang KKMNOW menunjukkan sebanyak 2,906 adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi adalah kes import.

Pada masa sama, sebanyak 2,833 kes sembuh dilaporkan, menjadikan 4,835,053 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 setakat ini.

Sembilan kematian akibat Covid-19 juga direkodkan semalam dengan satu daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) menjadikan jumlah

keseluruhan 36,475 kematian dengan 7,762 kes adalah BID.

Tiga kematian termasuk kes BID dilaporkan di Negeri Sembilan; dua kematian masing-masing di Johor dan Selangor manakala Kedah dan Pahang masing-masing merekodkan satu kematian.

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 31,436 kes masih lagi aktif dengan 29,973 menjalani isolasi di rumah dan 56 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 34 yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 62.9 peratus.

Related posts

Leave a Comment