Dua varian baharu menular pantas

LOS ANGELES: Dua varian baharu, BQ.1 dan BQ.1.1 menular dengan pantas dan setiap daripadanya menyumbang kira-kira satu peratus daripada jangkitan baharu Covid-19 di Amerika Syarikat (AS), namun meningkat dua kali ganda berbanding kelaziman, setiap minggu.

Berdasarkan data terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), hampir 14 peratus jangkitan baharu di AS pada minggu berakhir pada 29 Oktober lalu berpunca daripada varian BQ.1, manakala BQ.1.1 menyebabkan 13.1 peratus jangkitan baharu.

Data CDC menunjukkan, BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang lebih satu daripada empat jangkitan Covid-19 baharu di seluruh negara itu

Varian BA.5 yang mendominasi penularan Covid-19 di AS sejak Julai lalu, kini menyumbang 49.6 peratus daripada jangkitan baharu di Negara itu.

Sebahagian besar subkelompok baharu, iaitu cabang BA.2, BA.4 dan BA.5 kini muncul sebagai punca majoriti jangkitan baharu di AS.

Satu lagi varian, XBB, juga adalah subvarian Omicron yang digelar sebagai ‘varian mimpi ngeri’ di Singapura, bersifat sangat kebal dan menunjukkan ia mungkin kalis terhadap vaksin semasa.

Kumpulan penasihat evolusi virus SARS-CoV-2 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu, berkata XBB dan BQ.1 ketika ini tidak mencapai perbezaan secukupnya antara satu sama lain atau daripada kelompok Omicron lain.

Tahap mutasinya tidak menjadikannya lebih kalis imuniti sehingga perlu dilabel sebagai varian baharu yang membimbangkan.

Pakar perubatan bimbang kemunculan subvarian baharu Omicron akan menyebabkan tahap imuniti umum, terutama mereka yang lemah sistem imun, tidak lagi mendapat perlindungan yang memadai.

Bagi menghadapi situasi ini, pakar menasihatkan lebih ramai orang mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mengelak jangkitan yang kronik.

Related posts

Leave a Comment