Muhyiddin mahu jadi PM kali kedua

ALOR SETAR 29 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bersedia merendahkan diri apabila meminta pihak yang pernah ‘menikamnya’ bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun usahanya gagal apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, menolak bekerjasama bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

Jelasnya, usaha itu tidak dapat dilakukan kerana PN merancang bertanding di banyak kerusi parlimen selain Muhyiddin dikatakan, masih berminat menjadi Perdana Menteri kali kedua.

“Kita patut dengar permintaan rakyat supaya parti lawan bergabung, baru boleh kalahkan UMNO seperti kehendak rakyat.

Kita pun fikir tak apa, walaupun dia (Muhyiddin) pernah tikam belakang saya, tapi untuk bangsa, negara dan agama, saya sanggup rendahkan diri untuk kerjasama bersama Muhyiddin.

“Tapi bila kita cuba kerjasama bersama PN, dia jawab tak nak kerjasama. Bukan main sombong, konon dia boleh menang bila letak calon di 222 kerusi Parlimen dan dia boleh jadi Perdana Menteri kali kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Rapat Umum GTA Kedah di perkarangan Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini, malam tadi.

Sebelum ini, GTA dilaporkan dalam rundingan bersama PN dalam menentukan bentuk kerjasama termasuk kemungkinan memastikan calon mereka tidak bertembung di kerusi tertentu.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata, adalah sukar bagi Muhyiddin menjadi Perdana Menteri kali kedua kerana PN tidak akan mampu mencapai majoriti mudah 111 kerusi parlimen.

“Dia (Muhyiddin) masih minat nak jadi Perdana Menteri, tapi PN tak akan boleh menang 111 kerusi. Dia bukan jaguh yang berkhidmat bertahun-tahun dan menyumbang kemajuan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment