Pas, Bersatu guna Perikatan di Kedah

ALOR SETAR 29 Okt. –  Semua lapan calon Pas dan tujuh Bersatu di Kedah akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, kesemua calon yang dipertaruhkan di Kedah akan menggunakan logo PN pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan datang ini.

Sebelum ini terdapat desakan supaya Pas menggunakan lambang bulan berbanding PN di negeri-negeri yang dikuasai Pas.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut meletakkan sasaran untuk menang di kesemua 15 kerusi yang ditandingi PN.

Katanya, pembahagian kerusi dimuktamad malam tadi di mana Pas dan Bersatu berjaya menyelesaikan proses pembahagian kerusi hanya dengan tiga kali perbincangan.

“Lapan kerusi akan ditandingi wakil daripada Pas, tujuh kerusi akan ditandingi wakil daripada Bersatu, untuk 15 kerusi Parlimen. Logo yang kita pilih, adalah logo Perikatan Nasional.

“Jangan ada sesiapa beri ruang untuk musuh pecah belahkan kita atas perbezaan logo tadi. Sekarang, di Kedah, logo kita sama, iaitu Perikatan Nasional,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Jentera PN Peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini semalam.

Beliau juga memaklumkan, gabungan PN akan menggunakan beberapa strategi dalam memenangi kerusi yang dilihat ‘sukar menang’ seperti di Langkawi dan Alor Setar.

Tambahnya, fokus juga akan diberikan kepada kerusi yang dimenangi calon lawan dengan majoriti tipis bawah 2,000 undi dalam pilihan raya lepas, seperti di Padang Terap dan Baling.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) Kedah menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi Parlimen di negeri Kedah manakala Barisan Nasional (BN) pula menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi.

Related posts

Leave a Comment