Kemelut siapa Presiden jejas peluang Zuraida

PUTRAJAYA 29 Okt. – Menjelang hari penamaan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Parti Bangsa Malaysia (PBM) kini dalam keadaan ‘kucar kacir’ apabila dua pihak masing-masing mengakui mereka adalah pemimpin yang sah mengikut perlembagaan.

Kemelut dalaman yang semakin meruncing itu dijangka menjejaskan peluang beberapa penyandang kerusi Parlimen untuk menyertai PRU15 termasuk Zuraida Kamaruddin yang mewakili kerusi Ampang.

Kemelut itu yang jika berlarutan dan tidak mampu diselesaikan mungkin mengganggu persiapan PBM termasuk isu berkaitan penggunaan logo.

Malam tadi dalam satu kenyataan terbaru, Larry Sng Wei Shien yang mendakwa beliau masih Presiden yang sah menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi termasuk Zuraida berkuat kuasa serta-merta selaras dengan perlembagaan parti Fasal 60 (iii).

Turut digantung selain Zuraida adalah Haniza Mohamad Taha (ADUN Lembah Jaya), Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa), Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Dato Chua Lian Chye, Dato Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Keputusan Sng itu menyusul kenyataan pihak yang mengiktiraf Zuraida adalah Presiden yang sah mengikut perlembagaan parti dan tidak sepatutnya dipersoalkan.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, pelantikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, itu dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Keenam parti itu pada 1 Oktober lepas dan minit mesyuarat tersebut telahpun dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Terdahulu Sng juga mengumumkan penggantungan jawatan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid.

Menurut Sng, penggantungan Zuraida sebagai ahli biasa PBM adalah berhubung penglibatan berterusan mereka dalam menjejaskan kepentingan parti dan kepemimpinannya.

“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum,” kata Sng.

Menurut Sng, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Satu Mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan Ahad ini di Sarikei untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan kadar segera.

“Saya akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membenarkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari yang diperlukan.

“Mereka yang telah digantung kerja tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut dan surat penggantungan mereka telah dihantar kepada mereka secara individu,” katanya.

Semalam, Nor Hizwan menyifatkan tindakan Sng mempersoalkan kedudukan Zuraida adalah usaha untuk sabotaj parti ataupun sandiwara publisiti.

“Dia boleh berhujah bahawa beliau masih presiden tetapi usul melantik Zuraida telah diluluskan pada mesyuarat AGM itu.

“Sng juga telah berkali-kali mengakui keabsahan Zuraida sebagai presiden melalui pesanan ringkas WhatsApp apabila berurusan dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi PBM,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Utama PBM Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, semalam.

Related posts

Leave a Comment