STF : Tommy Thomas fail saman pemula

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini memfailkan saman pemula terhadap kerajaan dengan memohon perisytiharan bahawa laporan bertajuk ‘Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness‘ adalah dokumen tidak sah dan bertentangan undang-undang.

Tommy yang memfailkan saman itu hari ini melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas, menamakan pengerusi dan ahli Pasukan Petugas Khas (STF) terbabit serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Mereka adalah Pengerusi JC Fong dan ahlinya Hashim Paijan, Dr Junaidah Kamarruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi, dan Najib Suri.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa Pasukan Petugas Khas adalah badan tidak sah dan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diberikan oleh kerajaan.

Selain itu, turut dipohon adalah perisytiharan bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan melanggar hak beliau seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) (kebebasan asasi ) dan 13(1) perlembagaan persekutuan.

Laporan STF yang dinyahklasifikasi kerajaan pada 13 Oktober lalu antara lain mengesyorkan supaya bekas Peguam Negara itu disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan telah dilakukannya.

Ia ialah antara tiga syor pasukan berkenaan dalam laporan siasatannya yang kini boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pasukan khas itu juga mencadangkan empat langkah yang perlu diambil kerajaan bagi menangkis persepsi umum terhadap campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman atau kekurangan kebebasan kehakiman.

Langkah itu termasuk pindaan ke atas Seksyen 5(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 bagi membolehkan pelantikan empat individu yang dihormati dalam JAC, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara.

Selain itu, Perdana Menteri perlu secara tegas mematuhi Seksyen 2 Akta JAC bagi mempertahankan kebebasan kehakiman.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman perlu diasingkan kepada dua badan bebas. Satu ialah badan mengendalikan pelantikan, kenaikan pangkat, pemindahan pegawai kehakiman untuk ditempatkan bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

“Satu lagi badan bagi mengendalikan pelantikan, kenaikan pangkat, pemindahan pegawai perundangan untuk ditempatkan bawah Pejabat Peguam Negara.

“Pejabat Peguam Negara perlu dipisahkan daripada Pendakwa Raya,” katanya dalam bahagian Ringkasan Eksekutif laporan berkenaan.

Pasukan itu juga mengesyorkan supaya garis panduan diwujudkan bagi mentadbir urus pelaksanaan kuasa oleh Peguam Negara untuk melantik peguam luar bagi mewakili kerajaan dalam kes sivil serta untuk mendakwa kesalahan, supaya pelaksanaan kuasa itu boleh dilakukan secara telus dengan integriti dan bukan sewenang-wenangnya.

Related posts

Leave a Comment