“Kawan-kawan BN tunggu dulu”

ALOR SETAR 27 Okt. – Barisan Nasional (BN) perlu memuktamadkan senarai calonnya terlebih dulu sebelum membuat keputusan menyerahkan kerusi tertentu kepada parti gabungan (Friends of BN).

Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid, berkata BN yang merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dijangka memuktamadkan senarai akhir calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, hanya selepas semua urusan berkenaan selesai, keputusan sama ada menyerahkan kerusi bagi ditandingi parti gabungan dapat diputuskan dan diluluskan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“BN ada empat parti komponen dan kita perlu selesaikan dulu pembahagian kerusi untuk parti komponen yang dalam proses dimuktamadkan, kemudian baru kita tentukan kedudukan parti ‘Friends of BN’ ini.

“Penentuan di mana kerusi parti ‘Friends of BN’ ini, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diputuskan Pengerusi BN, jadi sebelum penamaan calon 5 November kita boleh tahu keputusannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia (TVET@KPLB) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kali Ke-13, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan, akan mempertimbang memilih calon dalam kalangan parti gabungan bagi bertanding PRU15 berikutan jasa mereka membantu kemenangan BN dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri.

Antara yang disebut bakal bertanding mewakili parti gabungan adalah penyandang kerusi Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang dijangka bertanding mewakili BN selepas Parti Bangsa Malaysia (PBM) memohon menjadi parti gabungan.

Mengulas keyakinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar, bahawa gabungan itu bakal menang di 15 kerusi Parlimen di Kedah, beliau berkata, setiap parti perlu berfikir secara munasabah dalam membuat sasaran.

“Saya kenal Mahfuz secara peribadi, kalau ada 16 kerusi Parlimen pun dia akan kata (menang) 16, nasib ada 15 (kerusi Parlimen) saja di Kedah dan dia tak terlajak kata 16 (kerusi Parlimen),” katanya.

Related posts

Leave a Comment