RM7 bilion atasi masalah air Kelantan

KOTA BHARU 8 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan memerlukan sekitar RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu, kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, anggaran peruntukan itu bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer, serta pembinaan loji baharu.

Mohd Amar  mengakui, kerajaan negeri sudah berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air bersih selama 30 tahun namun, pertikaian politik dengan kerajaan persekutuan didakwa menjadi punca negeri itu tercicir menerima peruntukan.

Ini termasuk isu pembatalan projek air Kelantan Utara bernilai RM600 juta pada 1990.

“Dan sekarang ini, keperluan kita RM7 bilion untuk memulihkan isu air di Kelantan, dengan tukar paip, apa semua sekali, kita tak dapat.

“Sedangkan, masa itu, Pulau Pinang dapat RM2 bilion sehingga siap Empangan Mengkuang Penang dan tak ada masalah air sekarang ini.

“Selepas itu, isu migrasi. Peruntukan yang sepatutnya sampai, tak sampai. Ada banyak isu. Saya ada rekod semuanya. Kena faham, di Malaysia ini, tak ada satu negeri yang boleh selesaikan masalah air secara sendirian,” katanya di sini semalam.

Mohd Amar berkata, kerajaan Kelantan tidak mampu mengatasi masalah air tanpa bantuan kerajaan persekutuan.

Justeru, beliau berharap, kerajaan persekutuan dapat memberi bantuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Related posts

Leave a Comment