Presiden Gerakan pilih Pulau Pinang

TANJONG 25 Okt. – Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan beliau akan bertanding di Pulau Pinang pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetapi tidak menyatakan kawasan pilihannya.

Katanya, satu pengumuman mengenai kawasan yang akan ditandingi akan dibuat pada 30 Oktober ini.

“Apa yang saya boleh sahkan, saya akan kembali ke Pulau Pinang. Saya sebagai Presiden (Gerakan), saya boleh bertanding di mana-mana sahaja,” katanya dalam sidang media pada pelancaran Bilik Gerakan PRU15 PN Bayan Baru, di sini.

Antara kerusi Parlimen yang akan ditandingi Gerakan di Pulau Pinang ialah Jelutong, Bayan Baru, Bukit Bendera, Tanjong dan Batu Kawan.

Dalam PRU14, kerusi Parlimen Tanjong dimenangi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (DAP) dengan majoriti undi 29,599; Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji (DAP, majoriti 38,171 undi); Bukit Bendera, Wong Hon Wai (DAP, majoriti 40,731 undi); Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PKR, majoriti 37,751 undi) dan Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (DAP, majoriti  33,553 undi).

Related posts

Leave a Comment