Gerakan guna logo PN hadapi PRU15

BAYAN LEPAS 25 Okt. –  Mesyuarat bersama kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu memutuskan Gerakan akan menggunakan logo PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai.

“Keputusan muktamad, kita gunakan logo PN (untuk) menghadapi PRU15,” katanya pada sidang media seleps pelancaran Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru di sini, hari ini.

Isu penggunaan logo Gerakan disuarakan akar umbi peringkat cawangan dan bahagian dalam Persidangan Gerakan Pulau Pinang baru-baru ini berikutan kebanyakan pengundi dikatakan tidak mengetahui parti itu bukan lagi komponen Barisan Nasional (BN).

Dominic mengakui masih ada segelintir individu tidak mengetahui keadaan itu, namun yakin kesedaran orang ramai semakin meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Kita akan terus memaklumkan kepada masyarakat terutama golongan veteran bagi memastikan maklumat berhubung pendirian Gerakan yang kini berada di bawah PN sampai kepada rakyat.

“Hala tuju dan objektif parti kini adalah untuk memenangkan PN dan bukan sekadar bertumpu kepada Gerakan,” katanya.

Dominic turut menyatakan kesediaan kembali sebagai calon di Pulau Pinang, namun sama ada bertanding bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diputuskan pucuk pimpinan.

Katanya, nama calon dijangka diumum sebelum 30 Oktober ini secara serentak di setiap negeri.

Gerakan dijangka bertanding sekurang-kurangnya 18 kerusi Parlimen di seluruh negara dengan 80 peratus adalah calon muda dan muka baharu.

Di Pulau Pinang, Gerakan berhasrat bertanding di Parlimen Jelutong, Bayan Baru, Bukit Bendera, Tanjong dan Batu Kwan.

Related posts

Leave a Comment