PM ucap tahniah kepada PM baharu Britain

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan tahniah kepada Rishi Sunak yang dilantik sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) baharu, hari ini.

Ucapan itu disampaikan kepada pemimpin Parti Konservatif itu, menerusi satu surat yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Dalam ucapan tahniah itu, Ismail Sabri antara lain menyatakan penghargaan mengenai hubungan antara kedua-dua negara, yang terjalin selama 65 tahun dan berharap dapat menjalin kerjasama rapat dengan Sunak untuk terus meneroka potensi hubungan Malaysia-UK.

Malaysia dan UK menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Tuan Yang Terutama Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom yang baharu.

Dalam kita meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin 65 tahun yang lalu, saya amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini. Malaysia dan UK telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Tambahan pula, hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh.

Saya juga mengambil kesempatan ini mendoakan Tuan Yang Terutama diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan buat rakyat United Kingdom, semoga akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran,”

Related posts

Leave a Comment