Keyakinan, kestabilan ekonomi agenda utama

LONDON: Rishi Sunak yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Britain tidak gentar dengan skala cabaran yang sedang menanti sebaliknya berikrar untuk menerajui negara ini mengharungi krisis ekonomi dan membina semula kepercayaan dalam politik.

Beliau yang menerima titah Raja Charles III untuk membentuk kerajaan baharu hari ini, berjanji untuk memfokus pada aspek keyakinan dan kestabilan ekonomi sebagai agenda utamanya berbanding politik.

Pemimpin termuda menerajui pentadbiran negara ini dalam tempoh lebih 200 tahun itu memikul tugasan getir untuk menamatkan perbalahan politik serta menangani isu perubahan radikal dalam dasar yang dilapor telah menakutkan pelabur dan sekutu antarabangsa sebelum ini.

Beliau yang menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di Britain juga menjelaskan, keputusan sukar juga bakal dibuat dalam usahanya ke arah mengurangkan perbelanjaan awam dan membetulkan ‘kesilapan’

Perdana Menteri terdahulu, Liz Truss, ketika Britain diancam kemelesetan ekonomi.

Berucap di luar kediaman rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street, hari ini, Sunak berkata, beliau cukup sedar bahawa Britain sedang bergelut dengan keadaan sukar.

“Saya faham bahawa ada tugasan perlu saya laksana bagi memulihkan semula kepercayaan, selepas segala yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan ialah saya tidak gentar. Saya tahu jawatan tinggi yang saya terima ini, dan berharap dapat memenuhi tuntutannya,” katanya.

Sunak, dijangka memotong perbelanjaan untuk ‘menutup lubang’ dianggarkan mencecah 40 bilion pound (RM217 bilion) dalam kewangan awam yang diakibatkan oleh kemelut kelembapan ekonomi, kos pinjaman lebih tinggi dan skim sokongan tenaga.

Beliau juga dijangka berdepan peningkatan desakan untuk mengadakan pilihan raya jika beliau mengetepikan terlalu banyak janji yang telah membantu Parti Konservatif mencapai kemenangan pada 2019.

Related posts

Leave a Comment