Penerima VSS bukan pemiutang UMMB

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terbabit Skim Pemisahan Sukarela (VSS) empat tahun lalu berhak mendapatkan baki bayaran penyelesaian hasil jualan hartanah milik syarikat dan anak syarikatnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nadzarin Wok Nordin, hari ini, memutuskan penerima VSS dan anak syarikatnya adalah benefisiari harta amanah dan bukan pemiutang UMMB.

“Berkaitan pelaksanaan VSS, UMMB, anak syarikat dan syarikat berkaitannya boleh diklasifikasikan sebagai entiti ekonomi tunggal.

“Mahkamah berpendapat penerima VSS adalah benefisiari harta amanah dan mereka tidak terbabit dalam proses likuidasi dan berhak mendapat manfaat daripada harta amanah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau juga mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak syarikat – Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd, U Print Sdn Bhd, Utusan Land Sdn Bhd, Juasa Holdings Sdn Bhd dan Mediamony Sdn Bhd, adalah harta amanah.

Dalam penghakimannya, Nadzarin berkata, hartanah berkenaan termasuk empat harta tambahan iaitu bangunan di Jalan Chan Sow Lin dan kilang percetakan di Bangi dekat sini. Hartanah berkenaan terletak di di Lot 187 dan 268, 46M, Seksyen 92, Jalan 5 Off Jalan Chan Sow Lin, No 44, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin, Lot 285, Jalan 5, Seksyen 92 Jalan Chan Sow Lin dan Lot 6, 3 Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S10, Bangi.

Katanya, penerima VSS sebagai benefisiari, (selepas ditolak perkara seperti cukai keuntungan harta tanah, penilaian, yuran pelikuidasi, yuran guaman dan pelbagai bayaran) akan menerima bayaran penyelesaian yang akan dimasukkan dalam akaun firma guaman yang dilantik sebagai pemegang amanah VSS.

Firma guaman, Lavinia, Dell Akbar, Tee & Partners serta Tetuan Azmin dinamakan sebagai pemegang amanah kakitangan VSS.

Nadzarin membuat keputusan itu dalam saman pemula yang difailkan UHY Advisory sebagai pelikuidasi yang mewakili UMMB (Penggulungan Sukarela Pemiutang-CVL) sebagai plaintif terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS).

Menurut penghakiman, hanya lapan kali pembayaran dibuat plaintif (UMMB) kepada bekas kakitangan sebelum CVL pada 7 Oktober 2019, manakala masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM59,403,367.97 perlu dijelaskan kepada semua penerima VSS.

Nadzarin berkata, sebelum membuat keputusan, mahkamah sudah meneliti terma dan syarat VSS yang menyatakan terdapat sejumlah 12 pembayaran dalam tempoh 12 bulan kepada pekerja VSS dan sepatutnya dibuat selepas semua potongan berkanun, hutang belum dijelaskan dan proses rasmi lain selesai.

“Mahkamah juga merujuk surat bertarikh 8 Oktober 2019 daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan (ketika itu), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang menyatakan, persetujuan kedua pihak dicapai bahawa pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Kumpulan Utusan,” katanya.

Sementara itu, peguam Abu Daud Abd Rahim, mewakili defendan ketika dihubungi, mengesahkan penghakiman itu.

Related posts

Leave a Comment