Hampir 10,000 pekerja asing positif

KUALA LUMPUR 24 Mac – Sebanyak 54 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, semua yang ditahan dikompaun di atas kesalahan masing-masing.

Kesalahan itu adalah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (21), tidak memakai pelitup muka (17), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (6), aktiviti pusat hiburan (5), tiada penjarakan fizikal (3), langgar perintah kuarantin (1) dan memasuki kawasan PKPD tanpa kebenaran (1).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Operasi Benteng pula menangkap 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 11 buah kenderaan darat.

Beliau juga memaklumkan, seramai 3,428 warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 11 orang didapati positif Covid-19.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 644,425 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 33,440 majikan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,971 orang disahkan positif manakala 634,454 lagi adalah negatif.

Related posts

Leave a Comment