Sunak terima titah ‘ganti’ Truss

LONDON: Rishi Sunak, 42,  menerima titah membentuk kerajaan baharu selepas Raja Charles III menerima peletakan jawatan Perdana Menteri Britain secara rasmi daripada Liz Truss yang memimpin negara itu dalam tempoh paling singkat.

Sunak yang menempa sejarah sebagai Perdana Menteri bukan kulit putih yang pertama di Britain, menghadap Raja Charles III di Istana Buckingham.

Beliau juga merupakan pemimpin termuda menerajui pentadbiran negara ini dalam tempoh lebih 200 tahun.

Sunak dijangka memulakan pelantikan anggota Kabinet dengan segera, sekali gus bersiap siaga memfokus tugasan penuh mencabar untuk menangani krisis ekonomi yang menyebabkan jutaan rakyat Britain bergelut menampung kos sara hidup kini.

Selain itu, beliau yang juga Perdana Menteri ketiga daripada Konservatif dalam tempoh tahun ini saja, memikul tanggungjawab berat untuk menyatupadukan semula ahli parti pemerintah berkenaan.

Sementara itu, Truss yang mengumumkan peletakan jawatan pada Khamis lalu selepas hanya beberapa minggu dilantik menduduki jawatan teraju pentadbiran Britain, menyampaikan ucapan terakhirnya di luar 10 Downing Street sebelum meninggalkan pejabat rasmi Perdana Menteri, hari ini.

“Negara kita terus berjuang mengharungi ‘badai ribut’. Namun, saya percaya kepada Britain. Saya percaya kepada rakyat Britain. Saya tahu ‘hari lebih cerah’ sedang menanti di hadapan,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada Sunak, Truss bagaimanapun menekankan bahawa beliau tetap percaya kepada ideologi rendah cukai bersama pertumbuhan tinggi yang cuba diketengahkan bawah kepimpinannya sebelum ini.

“Sejak menjadi Perdana Menteri lagi, saya berkeyakinan bahawa kita perlu berani dan harus mendepani cabaran yang dihadapi. Ia bukanlah perkara sukar yang menyebabkan kita tidak berani. Sebaliknya, kita tidak berani itulah yang menyebabkan ia sukar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment