Usah tertipu lagi dengan Dr.M

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Veteran DAP, Ronnie Liu mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim supaya tidak lagi terpedaya dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu berkata , Dr Mahathir sudah beberapa kali menipu PH, khususnya ketika beliau menjadi Perdana Menteri gabungan itu selama 22 bulan.

“Tipu, tipu, Dr Mahathir ini penipu besar. Dia banyak kali menipu kita. Dulu kita kena tipu kerana kita tak tahu dia menipu atau niatnya nak menipu kita.

Kita ingatkan dia sudah insaf. Sebagai seorang manusia, mungkin masa sudah sampai untuk dia buat sesuatu yang baik, jasa baharu kepada Malaysia dan sebab itu dia diberi peluang masuk PH ketika itu.

Tapi dia sudah tipu PH banyak kali. Bagi saya, dia dah khianat PH. Ini cara dia cuba menipu PH sekali lagi, menipu Anwar.

“Kalau saya jumpa Anwar, saya minta beliau jangan kena tipu sekali lagi. Cukup cukuplah,” katanya dalam satu temu bual dengan portal The Malaya Post.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) dilaporkan sedia berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dan tidak kisah jika ada yang menuduhnya ‘menjilat ludah sendiri’.

Mengulas lanjut, Liu mendakwa Dr Mahathir menawarkan kerjasama dengan Anwar kerana tahu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan GTA akan kalah teruk dalam PRU15, jika bergerak sendirian.

“Ini satu penipuan sebab dia rasa tanpa PH, parti dia tak pergi mana. Besar kemungkinan apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berulang, iaitu Pejuang kalah dan hilang deposit.

“Dr Mahathir tahu dalam pilihan raya akan datang, dia tak ada peluang yang baik. Bukan saya nak pandang rendah parti Dr Mahathir. Tapi saya rasa parti dia bertindih. Dia nak wujudkan UMNO kedua,” katanya.

Related posts

Leave a Comment