BN: PBM tunggu hari penamaan calon

KUALA LUMPUR 23 Okt. –  “Kita tunggulah hari penamaan calon,”. Itu reaksi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM)  Zuraida Kamaruddin berhubung status permohonan PBM untuk menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Selepas tiga bulan permohonan dibuat, PBM masih belum menerima sebarabg jawapan dan membayangkan kaedah lain untuk partinya menyertai BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menegaskan, PBM sedia menyertai gabungan berkenaan sebagai ‘Friends of BN’, namun jalinan kerjasama itu perlu dimuktamadkan sebelum PRU15 ini.

Ketika ditanya sama ada partinya akan menjadi parti ‘Friends of BN, Presiden PBM itu berkata, persoalan berhubung arah tuju kerjasama PBM dan BN akan terjawab pada 5 November ini.

“Friends of BN’ kita kena jadi kawan sekarang (sebelum PRU15), tak boleh kemudian (selepas PRU15). Jadi kawan kemudian (selepas PRU15) sudah jadi cerita lain, jadi (kena) kawan sekarang.

Kita tunggulah hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Jom Kenali Agrikomoditi’, di sini hari ini.

Julai lalu, PBM dilaporkan menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menghadapi PRU15, namun sehingga kini pimpinan gabungan itu dilaporkan masih memperhalusinya bersama permohonan beberapa parti lain.

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata, hasrat PBM untuk menyertai BN menerima respons positif, tetapi BN belum memberi keputusan rasmi mengenai permohonan itu.

Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).

Ditanya kemungkinan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar beralih ke Parlimen Ampang pada PRU15 kali ini, Zuraida berkata, beliau menyambut baik hasrat penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh itu.

“Ini negara demokrasi, sesiapa pun boleh datang dan bertanding di Ampang. Semua dialu-alukan ke Ampang,” katanya yang akan mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15 ini.

Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR turut mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 ini.

Related posts

Leave a Comment