Jawatan TPM bagi Sabah, Sarawak

PAPAR 23 Okt. – Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memasukkan lantikan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.

“Dalam konteks negeri ini, cadangan terbabit akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum PRU15,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3, di sini hari ini.

Turut disempurnakan adalah Gimik Pelancaran Projek Naik Taraf Jalan Bukit Manggis dan Projek Pembinaan Masjid Kedua Pekan Bongawan.

Turut hadir, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin, Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dr Mohd Arifin Mohd Arif mewakili Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Ahmd Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata jawatan tiga TPM itu boleh juga digunakan oleh BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai manifesto di peringkat negeri.

“Saya yakin Perdana Menteri akan terima cadangan ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan, itu sebabnya. Sebelum ini, hanya ada empat jawatan menteri kanan.

“Jadi tidak mustahil tiga jawatan TPM diwujudkan sekiranya BN menang dengan dominan. Jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau juga mencadangkan BN Sabah memasukkan dalam manifesto mengenai peruntukan dari kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sekiranya BN dominan dalam pembentukan kerajaan.

“Saya cadangkan agar Pengerusi BN Sabah memohon kepada kerajaan Persekutuan agar peruntukan yang selama ini disalurkan melalui kementerian di peringkat Persekutuan agar dapat disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Ia boleh disalurkan melalui kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri agar pelaksanaannya boleh dibuat oleh mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, jalinan kerjasama BN bersama GRS telah mencapai kata sepakat dan kedua-dua gabungan bakal membantu satu sama lain dalam menghadapi PRU15.

“BN tidak akan bertembung dengan GRS dalam soal pembahagian kerusi Parlimen, tidak ada pertembungan. Di mana BN bertanding, GRS tidak akan bertanding.

“Selain itu, kita ada formula (pembahagian kerusi) yang telah dipersetujui oleh Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi GRS. Formula itu akan diumumkan Bung Moktar dan Hajiji dalam waktu terdekat ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment