33,983 didaftar pemilih baharu Februari

PUTRAJAYA 28 Mac – Sebanyak 33,983 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 29 Februari lalu didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2024 (DPT BLN2/2024) itu telah diperaku dan diwartakan dan dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 20 April ini.

“DPT BLN2/2024 juga mengandungi 6,742 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,442 pemilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my atau portal rasmi pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Semakan juga boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Beliau meminta warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 29 Februari lepas dan pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk membuat semakan.

Jika mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan,”

Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat mengemukakan bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D di pautan sama atau di pejabat pilihan raya negeri berkenaan.

Pada Januari lalu, sebanyak 36,978 warganegara berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu sepanjang tempoh 1 hingga 31 Januari 2024.

Nnn

Related posts

Leave a Comment