2,618 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 23 Okt. – Sebanyak 2,618 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam, membabitkan 2,611 kes penularan tempatan dengan tujuh kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Menurut laman sesawang KKMNow, ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini meningkat kepada 4,880,005 kes.

Sehingga kini, terdapat 27,299 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu, sebanyak 95.9 peratus atau 26,186 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sejumlah 1,066 kes atau 3.9 peratus sedang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 47 individu atau 0.17 peratus berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga kini, kadar penggunaan ICU berada pada tahap 63.3 peratus.

Bagi jumlah kes sembuh yang dilaporkan semalam, data menunjukkan terdapat 1,841 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 4,816,262 kes.

Sementara itu, bagi kes kematian akibat jangkitan berkenaan, terdapat empat kes dilaporkan dan dua daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat ini jumlah keseluruhan kes kematian di negara kini adalah 36,444 kes dan daripada jumlah itu, 7,753 adalah individu yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Related posts

Leave a Comment