Dendam rakyat Iran akan dilaksana

TEHRAN – Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, hari ini berikrar akan membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Israel susulan pembunuhan bapanya Ayatollah Ali Khamenei, yang juga bekas pemimpin tertinggi negara itu.

Menerusi satu mesej bertulis, Mojtabai memaklumkan, dendam adalah kehendak rakyatnya dan ia pasti akan dilaksanakan.

“Perkara ini tidak bergantung kepada kewujudan saya secara peribadi atau mana-mana pegawai lain. Sama ada kami masih berada di sini atau tidak, ia tetap akan berlaku,” katanya dalam mesej pertama sejak pengebumian bapanya minggu ini.

Mojtaba yang tidak pernah muncul di khalayak umum sejak sebelum perang tercetus dan dilaporkan cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya mendakwa Iran sudah menyusun senarai individu yang akan menjadi sasaran.

Kenyataan itu dikeluarkan berapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, mengancam tindakan balas yang lebih dahsyat jika berlaku sebarang cubaan membunuhnya.

Kedua-dua pihak terus meningkatkan ketegangan susulan berbalas serangan minggu ini yang menggugat perjanjian sementara bagi menamatkan perang di Asia Barat.

Perang itu tercetus pada penghujung Februari selepas serangan besar-besaran AS dan Israel sehingga mengorbankan bekas pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Trump mengisytiharkan gencatan senjata antara kedua-dua pihak sudah berakhir, namun masih membuka ruang untuk rundingan diteruskan, manakala usaha diplomatik giat dijalankan apabila media Iran melaporkan satu delegasi dari Qatar berkunjung ke negara itu pada Jumaat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment