“Ku simpan risalah reformasi di dalam peti”

PUISI Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang dihantar melalui Facebooknya hari ini menarik perhatian kerana ia dikaitkan dengan kekecewaan beliau berhubung pelantikan Kabinet Perpaduan.

Walaupun tidak menjelaskan maksud sebenar, ahli Parlimen PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu dikatakan meluahkan perasaan melalui puisi selepas melihat keanggotaan Kabinet pimpinan Anwar Ibrahim.

Pada 27 November lalu, Hassan dalam satu kenyataan melalui FB menyeru Perdana Menteri supaya membentuk Jemaah Kabinet yang Bersih dari gejala rasuah dan pecah amanah.

“Saya Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen P.159 Pasir Gudang yang berkempen berdasarkan dasar Utama Pakatan Harapan untuk memerangi Rasuah menyeru kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya membentuk Jemaah Kabinet yang Bersih dari gejala RASUAH dan pecah amanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kriteria ini hendaklah diguna pakai secara adil kepada semua Ahli Parlimen tidak kira dari PH ataupun dari Barisan Nasional atau parti- parti gabungan politik lain yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan.

BERIKUT PUISI “KUSIMPAN RISALAH REFORMASI DI DALAM PETI”

Semalam aku masih terdengar-dengar

Kau berkata

Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa

Maka, aku pun percaya

Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku

Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini

Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah

Ke tanah datar aku berbicara

Bahawa hidup ini hanya sekali

Maka marilah kita rakyat marhaen,

warga bawahan rakyat jelata,

Demi keadilan kita bersama,

aku seru

Kita bawa perubahan hakiki

yang kita panggil reformasi

Tetapi hari ini aku dikejutkan

Dengan istilah-istilah asing sama sekali

Aku mendengar orang berkata

tentang Machiavellian dan realpolitik

Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri

Justeru, aku merayu kepada sahabatku,

Berkata luruslah di luar dan di dalam hati

Apakah benar?

Yang lurus itu dakwah,

Politik ini bengkang bengkok rupanya?

Naif sungguh aku ini

Lurus bendul selama ini

Setelah terbangun dari mimpi

Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku

Lalu aku lipat dan kusimpan

Segala risalah dan teks ucapanku

Yang menyeru reformasi, reformasi,

Hampir suku abad, selama ini

Kini aku malu pada diri sendiri

Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi

Separuh jiwaku telah mati

Aku merasa tewas

Ketika  menang tanpa integriti seperti ini

HASSAN ABDUL KARIM

Pasir Gudang

Isnin 05 Disember 2022

Related posts

Leave a Comment