Boris Johnson kembali sebagai PM?

LONDON: Kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Boris Johnson dilaporkan melancarkan kempen “kembalikan Boris” ke jawatan Perdana Menteri berikutan peletakan jawatan Liz Truss.

Menurut laporan media, Johnson berkemungkinan memasuki senarai calon untuk menggantikan Liz Truss, atas alasan ia adalah demi kepentingan negara.

Berdasarkan sesi soal jawab terakhirnya sewaktu di penghujung waktu sebagai Perdana Menteri dahulu, Johnson seperti meninggalkan isyarat bahawa beliau ‘masih ada urusan yang belum selesai’.

Ahli Parlimen Tory, Brendan Clarke-Smith dilaporkan berkata, perdana menteri seterusnya memerlukan mandat daripada pengundi dan ahli parti dan calon berkenaan perlu ‘seseorang yang mampu menjadi pemenang’.

Baginya, Boris Johnson ialah calon yang menepati semua kriteria.

Bagaimanapun ada juga berpendapat, Johnson sepatutnya tidak boleh bertanding, memandangkan dia masih di bawah siasatan atas insiden skandal ‘pesta’ yang menjatuhkan kariernya.

Selagi siasatan itu belum selesai dan mencapai keputusan sama ada dia bersalah atau tidak, Johnson tidak ada kemungkinan kembali ke dalam kerajaan.

Related posts

Leave a Comment