Sebulan tangani keluhan pengusaha restoran

Sebulan tangani keluhan pengusaha restoran

BAGAN 24 Julai – Anwar Ibrahim, memberi tempoh maksimum sebulan kepada kementerian dan jabatan berkaitan menangani keluhan pengusaha restoran di negara ini berhubung kekurangan tenaga kerja

Perdana Menteri berkata beliau mengakui terdapat keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan pekerja dalam sektor tertentu, termasuk restoran.

Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh membuka ruang sepenuhnya kepada kemasukan pekerja asing hanya bagi mengisi kekosongan tenaga kerja kerana jumlah pekerja asing sudah ramai, termasuk kalangan yang tidak berkemahiran.

“Tetapi saya setuju, ada keperluan mendesak mengisi kekosongan pekerja di lapangan tertentu, termasuk restoran-restoran.

“Jadi, mulai hari Isnin, saya bagi tempoh kepada kementerian-kementerian dan jabatan berkenaan, selesaikan keutamaan ini dalam tempoh satu bulan maksimum, mesti selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran ‘Indian Muslim Transformational Framework’ (IMTF) 2030 oleh Pertubuhan Gabungan Mukmin Nasional (MUKMIN) di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, malam ini.

Hadir sama, Pengerusi MUKMIN Datuk Wira Shahul Dawood dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pada majlis itu, Anwar meluluskan bantuan RM2 juta untuk kebajikan dan pendidikan anak-anak MUKMIN yang memerlukan.

Anwar turut memaklumkan kerajaan sentiasa bersedia mendengar dan meneliti isu yang dibangkitkan masyarakat India Muslim, termasuk berkaitan peluang pekerjaan, pinjaman, pendidikan, perniagaan dan perumahan.

Katanya, masih terdapat kelompok masyarakat yang berasakan mereka terpinggir, justeru pandangan serta cadangan yang dikemukakan perlu diberi perhatian bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan.

“Sebab itulah saudara-saudara harus mengemukakan pandangan dan kita perbaiki. Saya tidak pernah menganggap saya sudah buat yang sebaiknya dan sudah sempurna. Saya tahu kelemahan saya dan saya belajar.

“Ada hal-hal yang spesifik dibangkitkan. Soal pinjaman, peluang pekerjaan, saya akan beri perhatian,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah mendengar keluhan rakyat tanpa menafikan hak mana-mana kaum serta memastikan bantuan disalurkan secara adil mengikut keperluan.

Related posts

Leave a Comment