KLANG 20 Julai – Tiada pertikaian timbul berhubung kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan parti politik bukan kerajaan yang berlangsung kelmarin walaupun tanpa kehadiran wakil Pas pada pertemuan itu.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan Pas ada menerima jemputan, yang hanya melibatkan presiden dan tiada wakil daripada parti yang hadir pada pertemuan itu.
“Saya sendiri pun tak dapat (jemputan)…kebetulan presiden ada program yang lebih awal. Presiden cuba untuk hadirkan saya tetapi saya juga ada program selain itu tarikh (jemputan) juga singkat,” katanya yang menyifatkan pertemuan itu positif.
Katanya, ketidakhadiran Pas tidak menjadi masalah dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memaklumkan perbincangan itu akan dibawa ke Majlis Presiden untuk diperhalusi.
“Saya rasa ini permulaan yang baik,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Selangor, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai pertemuan Pengerusi PN tanpa kehadiran wakil Pas dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.
Muhyiddin sebelum itu, dalam hantaran melalui Facebooknya memaklumkan, satu perbincangan khas membabitkan pemimpin daripada parti-parti blok bukan kerajaan, telah diadakan berhubung cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
Presiden Bersatu itu memaklumkan bahawa barisan rentas parti itu akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara dan cadangan penubuhan itu bagi memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti pembangkang di dalam dan luar Parlimen.
Antara ketua parti yang hadir pertemuan itu termasuklah pemangku Presiden Muda, Amira Aisya, Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (PSM), S Arutchelvan, Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven.
Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dr Ibrahim Ali; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof Dr P Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.
Dalam pada itu Tun Ibrahim berkata, pertemuan itu adalah permulaan yang sangat baik dan lebih banyak pertemuan akan diadakan selepas ini yang bukan sahaja membabitkan parti politik tetapi bersama badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat serta tokoh akademik.
Ditanya adakah ada pertemuan membabitkan UMNO, Tuan Ibrahim memaklumkan dalam pengetahuannya ada perbincangan secara ‘senyap-senyap’ .
“(Pertemuan dengan BN) Senyap-senyap adalah, ada kawan-kawan, yalah…masing-masing pun jumpa. Bagi kita, terbuka kalau ada rakan-rakan daripada UMNO yang ingin bersama, saya fikir itu untuk masa depan negara.
“Mungkin kalau kita rasa duduk di tempat yang tak betul, kita kena betulkan tempat duduk. Kalau duduk di kapal yang tenggelam baik pindah ke kapal baharu,” katanya.
