Ahmad Faizal ‘sambut’ Anwar di Tambun

IPOH 21 Okt. – Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekaligus bersedia berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Ahmad Faizal berkata, sebagai anak jati Tambun, beliau dan rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) berpendirian, menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri.

“Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

“Mudah-mudahan, kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil, sekali gus memberi manfaat buat pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan, membuat kenyataan itu susulan pengumuman Anwar malam tadi, untuk bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15, 19 November ini.

Pengumuman itu mengesahkan khabar angin mengatakan beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi.

Sementara itu, dalam satu rakaman video berdurasi 26 saat,  Ahmad Faizal  mengucapkan selamat datang kepada mereka yang ingin berpindah ke Tambun.

Tanpa menyebut individu yang ingin berhijrah itu, Ahmad Faizal berkata: “Hai Assalamualaikum…Bagi mereka yang nak berhijrah daripada tempat lain dari satu tempat ke satu tempat dan nak datang ke Tambun, saya nak bagi tahu sikit, di Tambun kita sebut ayor. Dengar betul-betul, ayor bukan ayaq. Terima kasih, selamat datang,” katanya ringkas menerusi video berdurasi 24 saat itu pada Jumaat.

Related posts

Leave a Comment