JELEBU – Barisan Nasional (BN) mempunyai ramai calon Menteri Besar dan salah seorang daripadanya adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias.
Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jalaluddin adalah calon nombor satu Menteri Besar Negeri Sembilan, namun ia bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Katanya, parti itu tidak perlu mengumumkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, kalau dulu menteri-menteri besar kita berprestasi tinggi. Saya yakin walaupun tidak disebutkan siapa ‘poster boy’ kita, siapa calon menteri besar kita, tak perlu… kita terlalu ramai calon menteri besar, terlalu ramai.
Salah seorangnya ada di sini. Kita tak ada seorang ya, Jalal. Datuk Asyraf (Wajdi Dusuki) kata ada 10 (calon Menteri Besar Negeri Sembilan), 10 (itu) ada kualiti bagus, betul?
“Tapi Jalallah nombor satu, tertakluk kepada perkenan,” kata Timbalan Perdana Menteri ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Jalaluddin dan calon BN DUN Chennah, Siow Kong Choon.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melahirkan keyakinan, pengundi di Negeri Sembilan mahukan perubahan.
“Saya tidak mahu mendahului hukum Allah… tidak. Tetapi saya juga bukan nujum Pak Belalang dalam bidang politik.
“Namun saya yakin perasaan pengundi di Negeri Sembilan, mereka mahu perubahan dan perubahan itu mesti menjurus ke arah ‘membirukan’ Negeri Sembilan dengan kemenangan calon BN,” katanya.
