JELEBU 24 Julai – Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Linggi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) kali ini, sekaligus membuka laluan mengambil alih Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerusi DUN Chennah dan Linggi masing-masing ditandingi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
“Bacaan saya, saya harap tidak salah bacaan saya.. kalau kita rampas Chennah, bererti kita merampas Negeri Sembilan.
“Begitu juga kalau kita rampas dan kekalkan Linggi di bawah BN, ‘confirm’ (pasti) Negeri Sembilan di bawah BN,” katanya berucap di Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dan calon BN bagi DUN Chennah, Siow Kong Choon.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mahukan Kong Choon merampas Chennah daripada Loke.
Kita rampas Chennah, kasi ‘bungkus’ itu orang. Saudara-saudari, saya tak nak banyak cakap. Saya tak mahu sentuh peribadi. Cuma saya nak kata, dah tiga penggal dah. Siapa orang itu?” katanya merujuk kepada Loke.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menyifatkan Kong Choon sebagai harapan baharu di Chennah, yang berpotensi besar untuk dibangunkan, selepas ketinggalan selama tiga penggal.
Menurutnya, gelombang daripada Johor juga telah ‘datang’ ke Negeri Sembilan dan gelombang itu amat kuat dan BN pastikan ‘gelombang biru’ terus menerjah ke Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid turut mengarahkan kepada Jalaluddin mewujudkan sebanyak 50,000 pekerjaan sekiranya BN berjaya mengambil alih negeri itu.
“Datuk Jalal, arahan saya, kalau BN ambil alih pemerintahan Negeri Sembilan, pastikan supaya diwujudkan 50,000 pekerjaan baharu untuk anak-anak muda di Negeri Sembilan.
“Lima tahun kita akan mentadbir negeri ini, insya-Allah dan kita berhasrat untuk mewujudkan 50,000 jawatan, 10,000 setiap tahun,” katanya.
NNNN
