Ismail Sabri kekal calon PM

BAGAN DATUK 16 Okt. – UMNO masih mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu yang menamakan Naib Presiden parti,  Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, kata Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Ahmad Zahid menegaskan, dakwaan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan parti.

“Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang mana pada hemat baginda seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen lain.

“Jadi, jika ada parti pembangkang yang ‘menamakan’ orang lain selain daripada Datuk Seri Ismail Sabri, itu adalah usaha untuk memecahkan UMNO dan BN,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang  bahawa beliau akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15.

Ditanya mengenai hasrat Mohamed Tawfik yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail untuk bertanding PRU15 di kerusi Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata, sesiapa sahaja berhak bertanding di mana-mana kawasan.

“Dengan tidak mahu untuk merendahkan sesiapa kita mengalu-alukanlah, anak siapa sekalipun, yang mahu menawarkan diri (bertanding) ke Bagan Datuk.

“Dan pengundi di Bagan Datuk, (saya yakin) tentunya (mereka) bijaksana untuk memilih antara ‘intan dan kaca’ dan tentunya mereka akan memilih calon yang terbaik yang akan mewakili mereka,” kata Ahmad Zahid lagi.

Media sebelum ini melaporkan Mohamed Tawfik,  pengasas Gerak Independent yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor mengesahkan akan bertanding menentang Ahmad Zahid di Bagan Datuk dalam PRU15 ini.

Related posts

Leave a Comment