Keluar UMNO masuk Bersatu demi rakyat

KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid menegaskan keputusannya keluar UMNO pada 2018 dan kemudian menyertai Bersatu, bukan untuk kepentingan peribadi.

Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, tindakan berkenaan diambil demi rakyat Hulu Terengganu.

Memetik laporan BH, Rosol dilaporkan berkata : “Saya keluar parti untuk menjadikan Hulu Terengganu lebih baik berbanding ketika saya berada dalam BN (Barisan Nasional) dan UMNO,”.

“Ketika dalam parti (UMNO) itu, saya hanya terima peruntukan RM100,000. Selepas sertai Bersatu, saya terima peruntukan RM3.5 juta untuk membantu rakyat di Parlimen Hulu Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bekas Setiausaha UMNO Terengganu yang pernah menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu itu, berkata setakat ini 80 peratus beliau kekal bertanding mempertahankan kerusi disandangnya.

Rosol menang kerusi Hulu Terengganu pada 2018 atas tiket BN sebelum menjadi wakil rakyat Bebas dan selepas itu menyertai Bersatu selepas BN tewas teruk pada PRU14.

Ditanya pemilihan logo PN untuk PRU15, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan dan menerima apa jua logo yang akan digunakan nanti.

“Pasal logo mana yang kita akan guna nanti, terserah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan, kita bersedia dan yang penting meraih kemenangan. Setakat ini, BERSATU mungkin bertanding dua saja kerusi Parlimen di Terengganu.

“Dua kerusi itu adalah Hulu Terengganu dan Besut, namun kita tunggu saja keputusan muktamad nanti,” katanya yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu.

Mengenai peluangnya mempertahankan kerusi Hulu Terengganu jika dicalonkan pada PRU15, Rosol berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi.

“Selama empat tahun jadi wakil rakyat, saya sudah buat yang terbaik untuk penduduk Parlimen Hulu Terengganu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment