BN pertaruhkan 70 peratus muka baharu

BAGAN DATUK 16 Okt. – Barisan Nasional (BN) akan menampilkan 70 peratus muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, mereka yang akan dicalonkan terdiri daripada individu berkaliber, memiliki kelayakan akademik, serta mempunyai komitmen tinggi membantu rakyat.

Selain itu katanya, senarai calon BN juga akan menampilkan mereka yang berpengalaman supaya barisan terbaik dapat ditampilkan bagi memastikan kemenangan gabungan itu.

“Saya berazam untuk melihat 70 peratus calon adalah muka baharu dan saya juga sedar bukan mudah untuk memilih calon yang tepat.

“Saya mahu melihat calon baharu yang berkaliber, berakhlak serta mempunyai komitmen yang tinggi untuk membantu rakyat,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang juga Presiden UMNO berkata, selain muka baharu, senarai itu termasuk 30 peratus calon dari wanita.

“Pemimpin wanita UMNO mahu pemilihan calon mewakili empat kumpulan iaitu EXCO Wanita UMNO, tujuh pemimpin wanita yang kini memegang jawatan ketua bahagian, wakil Puteri UMNO dan golongan profesional.

“Jadi ketika ini wanita dan calon muda membentuk 100 peratus daripada senarai tetapi bagaimana dengan calon lama?

“Sebagai pengerusi BN, saya mesti berlaku adil. Saya akan memilih muka baharu tetapi turut mengekalkan muka lama supaya kita ada kedua-duanya, pada pilihan raya akan datang,” katanya yang turut menambah, senarai itu masih belum dimuktamadkan.

Ahmad Zahid turut mengingatkan calon baharu dan muda supaya sentiasa menghormati yang tua manakala yang tua perlu menyayangi mereka yang lebih muda.

“Perpaduan dalam UMNO BN dan Friends of BN…dan kita boleh melihat wajah pemimpin baharu dan lama supaya rakyat melihat BN telah berubah,” katanya.

Ahmad Zahid turut berkata, untuk PRU15 akan datang, parti itu akan bertanding di 191 kerusi Parlimen dan buat pertama kalinya, Friends of BN juga akan diberi peluang bertanding.

Friends of BN dianggotai parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM)

Related posts

Leave a Comment