Hanya 239 hari sebelum balik ke ‘kampung’

KUALA LUMPUR 5 Jun – “Hanya 239 hari lagi sebelum beta berdua balik ke kampung, ke negeri Pahang,” titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Seri Paduka bertitah, selepas tempoh itu baginda akan mengakhiri tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan berangkat pulang ke Pahang.

Dalam perkiraan beta, hanya 239 hari lagi sebelum beta berdua balik ke kampung, ke negeri Pahang,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Baginda serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersemayam sejak 2019 dan istiadat hari ini adalah yang terakhir disempurnakan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat serta keafiatan daripada Allah SWT untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia selama hampir lima tahun lamanya.

Baginda yang juga Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan dan kesyukuran kepada Majlis Raja-Raja atas kepercayaan serta amanah besar kepada baginda dalam memayungi negara hampir lima tahun.

Titah Seri Paduka, nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu telah berupaya untuk membantu dalam merungkai pelbagai kemelut yang melanda negara.

“Semangat musyawarah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu terus dijunjung dan diperkasakan sebagai mekanisme semak dan imbang terakhir ke atas tadbir urus negara yang telus, demi kelangsungan hidup rakyat jelata,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sistem penggiliran yang di-Pertuan Agong di antara sembilan Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak kemerdekaan negara, menjadi bukti kekuasaan dan jawatan bukan bersifat mutlak.

Titah Seri Paduka, institusi Yang di-Pertuan Agong juga satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.

Menurut baginda, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara menjadi tiang seri kepada perpaduan melangkaui kaum, bangsa dan agama juga sebagai pelindung kepada sekalian rakyat jelata.

“Ia pemusatan dan tumpuan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia dan rakyat jelata sekaliannya,” titah baginda.

“Natijahnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan obor yang sentiasa menyinari negara agar tidak tergelincir daripada acuan Perlembagaan Persekutuan, idealisme cita-cita dan harapan negara,” titah Seri Paduka.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat atas persembahan ucapan tahniah dan doa sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang disifatkan amat bermakna dan amat besar ertinya buat Seri Paduka berdua.

Related posts

Leave a Comment